/>

Saturday, August 2, 2008

Tolak Majlis Glamor


Oleh MALIAH SURIP






DUDUK di hadapannya, saya tersenyum sendiri, lebih-lebih lagi apabila melihat wanita ini suku berdebar, suku teruja yang digambarkan menerusi wajahnya semanis madu pada musim bunga.

Saya bersama semua media, separuh sabar menanti Maya Karin mengotakan janji untuk berbagi bahagia dengan khalayak mengenai sebuah ikatan penting bernama pernikahan.

Dengan senyum meleret, debar di hati yang disembunyikan di sebalik tubuh yang dibalut blaus bunga-bunga, dia mengumumkan tarikh hari bahagia yang bakal dilewati kelak.

9, 14 dan 29 Ogos 2008 - ini angka keramat yang telah dipilih wanita berusia 28 tahun ini sebagai tarikh bercantumnya dia dengan belahan jiwa, seorang lelaki Inggeris, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali - lelaki yang sama dihebahkan media sebelum ini.

“Pernikahan saya akan berlangsung di Bellagio, Itali. Majlis pendaftaran sivil akan berlangsung pada 9 Ogos dan diikuti upacara pernikahan pada 14 Ogos di sebuah vila sebelum saya mengadakan sebuah majlis sederhana pada 29 Ogos di Kuala Lumpur,” lancar tutur Maya.

Menurut Maya, dia memilih Itali kerana bakal ibu mentuanya tidak begitu sihat.

Majlisnya pula digambarkan Maya sebagai serba ringkas, tetapi sempurna. Tiada hantaran, tiada majlis pertunangan. Hanya mas kahwin. Begitu jujur Maya yang hanya menjemput 70 orang tetamu terdekat ke Itali tanpa sedikit rasa ralat terpancar di wajah.

“Saya berasa rimas dan macam tak boleh bernafas kalau membuat sebuah acara besar-besaran. Lagi pun, inilah saya, memang gemarkan sesuatu yang ringkas. Saya tak bijak membuat majlis yang glamor,” katanya ketawa.

Maya terus berbicara: “Namun apa yang perlu adalah majlis akad nikah saya sempurna dan semua orang gembira. Yang lebih penting adalah kehidupan baru kami selepas bernikah nanti.”

Pada pagi Jumaat yang mengesankan itu, pelakon prolifik ini terus melanjutkan butir bicara mengenai lelaki yang telah berjaya menyatukan magnet dua kutub berbeza mereka selama ini.

Dia kekok, itu akui Maya yang bagaimanapun menjawab semua soalan media dengan terbuka dan baik. Hampir tiada satu pun yang cuba disorokkan.

Steven, cerita Maya lagi, biar bukan cinta pandang pertamanya, tetapi hari ini, arjuna berusia 38 tahun yang merupakan seorang guru Matematik di Sekolah Antarabangsa Alice Smith, Kuala Lumpur menjadi pilihan hatinya. Dia bukan sosok lelaki berharta atau berpangkat seperti yang difikirkan banyak pihak.

“Kami sudah bercakap tentang hal berkahwin secara serius sejak dua tahun lalu. Steven pernah mengajak saya bernikah beberapa kali. Tapi waktu itu saya belum bersedia kerana berasa masih muda.

“Namun akhirnya enam bulan lalu, saya sendiri yang bersetuju untuk bernikah pada Ogos ini,” ujarnya.

Bakal menggayakan busana rekaan Syaiful Baharim dan Radzuan Radziwill, Maya saat ditanya bagaimana Steven menangkis gosip mengenai dirinya dengan lelaki VIP dan menjalani percintaan dengan artis terkenal sepertinya, bintang yang mula dikenali menerusi program Wavelenght ini berkata, bakal suaminya seorang yang tenang.

“Dia seorang yang cool dan kami selalu berkompromi dalam banyak hal. Memang, saya akui adakalanya kesibukan saya membataskan hubungan kami, tapi kami akan mencuri masa untuk bersama.

“Dan kalau hal gosip, dia selalu ketawa dan kami kata orang yang buat gosip ini gila,” kongsi Maya lagi mengenai bekas guru adiknya ini.


Biar sedang mengejar waktu cinta termeterai, Maya tetap menyelitkan agenda kerjaya. Kurang sebulan bernikah, dia akan memulakan penggambaran filem terbarunya berjudul Pisau Cukur.

Usai majlis berlangsung kelak, dia akan kembali sibuk di lokasi, melunaskan janji dengan pengarah Osman Ali untuk sebuah lagi filem.

Dan kesibukan ini kata Maya tidak akan dikendurkan hanya kerana status isteri yang diperoleh kelak.

“Saya akan bekerja seperti biasa kerana berasa boleh mengimbangi hal kerja dan rumah tangga serentak,” katanya yang baru melancarkan laman web rasminya, www.mayakarin.com.

Kosmo

0 shout!: