/>

Saturday, August 2, 2008

Detik Cinta Maya Karin

Cinta berputik sejak bertemu
di sesi ibu bapa dengan guru

KALAU tidak kerana terpaksa mengambil alih tugas orang tuanya untuk bertemu dengan guru adiknya dalam sesi pertemuan dengan ibu bapa, mungkin sang guru tidak terpaut pada dirinya.

Pelakon dan pengacara popular, Maya Karin, mendedahkan bahawa detik perkenalan pertama beliau dengan calon suami, Steven David Shorthose, 38 tahun, bermula semasa sesi pertemuan antara ibu bapa dengan guru.

Maya, dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia, berkata: ‘Steve (nama mesra) adalah guru Matematik adik-adik saya, Armin dan Irina, ketika mereka menuntut di Garden International School.

‘Ketika hari perjumpaan bersama ibu bapa, ayah dan ibu saya tidak dapat hadir. Jadi saya yang pergi ke sekolah untuk melihat perkembangan pembelajaran adik- adik.

‘Di situlah titik pertemuan pertama saya dengan Steve.’

Maya berkata demikian semasa mengumumkan majlis perkahwinannya dengan jejaka yang berasal dari England itu, yang bakal berlangsung pada 14 Ogos di Italy.

Menurut Maya, 28 tahun, Steven pernah bertugas sebagai guru Matematik di Liverpool dan London sebelum memilih Malaysia untuk meneruskan kerjaya perguruannya.

Steven sudah 12 tahun menetap di Malaysia dan pernah mengajar di Garden International School, Kuala Lumpur, dan kini di Alice Smith International School, Selangor.

Pasangan itu berkenalan sebelum Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, itu mula bergelar artis dan meniti tangga populariti.

Maya, anak sulung tiga beradik kacukan Melayu dan Jerman, berpindah ke Malaysia dari Bandung, Indonesia, sekitar akhir 1996.

Beliau kemudian memasuki kolej dan hanya bertemu Steven sekitar 1997. Ia sekali gus menjadikan tempoh perkenalan mereka kini mencecah lebih 10 tahun.

‘Selama empat tahun saya tidak berminat dengan pelawaan Steve untuk keluar bersamanya.

‘Pertama kali saya keluar dating dengan Steve pada 2001 dan mulai saat itu hubungan kami semakin hari terus serius dan sehinggalah ke hari ini.

‘Sekalipun diri saya pernah dikaitkan dengan beberapa artis termasuk VIP, saya bersyukur cinta saya dengan Steve masih setia walaupun pernah beberapa kali dilambung ombak.

‘Bagi saya, itu perkara lazim untuk pasangan yang sedang bercinta. Steve juga seorang yang begitu memahami kerjaya saya sebagai seorang artis,’ jelas Maya.

Steve, 38 tahun, adalah anak kedua tiga beradik, yang memeluk Islam empat tahun lalu. Beliau kini menggunakan nama Muhammad Ali sempena ahli tinju kegemarannya.

Ketika ditanya bagaimana beliau mampu menyembunyikan hubungan cintanya sekian lama, Maya, yang tidak pernah membawa Steve ke majlis-majlis hiburan, dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, menambah:

‘Hubungan kami sempoi saja. Kami keluar bersama pun tak pernah berpegangan tangan. Pakai pula pakaian macam orang biasa. Mungkin sebab itu orang tidak mengesyaki apa-apa,’ katanya.

Menurut Maya, sebenarnya sudah lama Steven melamar dan mahu mempercepatkan perkahwinan mereka, namun Maya yang menolak.

Tarikh nikah 14 Ogos di Italy dan majlis resepsi pada 29 Ogos di Kuala Lumpur - yang diumumkan Maya itu - disifatkan waktu yang sesuai untuk beliau merancang kehidupan berkeluarga.

Bercerita ciri-ciri menarik yang terdapat pada Steven, Maya berkata lelaki itu seorang yang kelakar, tidak berkira wang ringgit dan juga seorang yang memahami.

Ayahnya meninggal dunia ketika usianya 14 tahun dan ibunya, Josephine Shorthose, 71 tahun, pula sudah uzur dan ‘fobia’ menaiki penerbangan yang jauh.

Maka itu, majlis perkahwinan diadakan di Italy.

‘Kesediaan Steven menantikan hubungan ini membuatkan saya benar-benar merasakan bahawa beliau begitu ikhlas berkahwin dengan saya,’ tambah Maya.

Cyberita

0 shout!: