/>

Sunday, May 18, 2008

Maya mengaku bakal menikah.

Maya enggan ulas majlis kahwin




Minggu lalu boleh dikatakan kebanyakan media melaporkan berita pelakon popular Maya Karin merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka dari Eropah.

Kebanyakannya menulis perkahwinan itu dijadual pada hujung tahun ini.

Malah Maya sendiri membuat pengakuan hatinya sudah dimiliki oleh seseorang dan sudah bersedia ke arah itu.

Mungkin ramai yang terkejut apabila membaca laporan berkenaan kerana sebelum ini Maya berjaya menyembunyikan kisah cintanya.

Selama ini juga Maya sering berkata dia masih belum menemui lelaki sejati yang mahu diangkat menjadi suaminya.

Bagaimanapun tatkala hari perkahwinannya hampir tiba gosip Maya mengenai hubungan itu mula tersebar. Ternyata desas-desus dan berita yang dikhabar itu benar.

Malah Maya sendiri yang berhasrat untuk melakukan kejutan mengenai perkahwinannya itu terpaksa menerima hakikat umum sudah mengetahuinya.

Dan Maya sendiri terpaksa mengiyakan desas desus perkahwinan itu kerana menganggap ia adalah satu keputusan yang baik. Yalah, mendirikan rumahtangga merupakan sesuatu perkara yang dituntut oleh agama.

Malah dalam Islam sendiri pun menyuruh kita menghebohkan berita baik itu untuk mengelak berlakunya fitnah.

Biarpun Maya agak kurang selesa apabila berita mengenai perancangan perkahwinannya itu dilaporkan terlalu awal namun dia terpaksa menerima hakikat begitulah tuntutan menjadi artis popular.

“Benar saya akan mendirikan rumah tangga sebagaimana yang dilaporkan itu,” kata Maya ringkas apabila dihubungi Rabu lalu.

Malah ujar Maya, dek kerana ramai yang sudah mengetahuinya, maka terpaksalah dia melakukan perancangan tertentu terhadap perkahwinan tersebut.

Ahad lalu Pancaindera dan beberapa akhbar melaporkan Maya dikatakan bakal mendirikan rumah tangga. Majlis perkahwinan mereka dijadual pada Jun atau Julai ini yang akan diadakan di Itali.

Lelaki tersebut yang berjaya memikat hati Maya itu dilaporkan bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa, Kuala Lumpur.

Mengenai identiti lelaki berkenaan, Maya enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya berkata dia tidak mahu komen apa-apa mengenainya kerana apa yang dilaporkan itu sudah lengkap.

“Nampaknya wartawan dapat berita mengenai saya dengan lengkap dan rasanya tak perlulah saya memberi apa-apa ulasan lagi,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Maya, ketika ini dia agak sibuk dengan tugasnya sebagai pelakon dan tidak mempunyai tarikh sesuai untuk merancang perkara itu. Dia juga masih belum membuat perancangan rapi bilakah majlis tersebut akan diadakan.

“Bulan Jun ini saya sibuk. Begitu juga apabila menjelangnya Julai atau Ogos. Saya tiada komen terhadap perkahwinan saya itu,” katanya.

Bagaimanapun kata Maya, dia tetap akan mengotakan untuk membuat pengumuman rasmi apabila tiba tarikh perkahwinan tersebut.

Ditanya adakah dia kurang selesa apabila media terlebih awal melaporkan mengenai perkahwinan itu, dia juga tidak mahu mengulas.

Sebaliknya apabila membaca laporan berkenaan, kata Maya dia menerimanya seperti mana peminat membaca kisah dan cerita artis.

“Yang penting saya harus cepat mencari katering,” tambahnya.

Berdasarkan kepada beberapa jawapan yang diberikan Maya mengenai perkembangan majlis perkahwinannya itu dia seolah-olah kurang selesa apabila kisah berkenaan digembar-gemburkan.

Malah dari segi reaksi Maya dia sendiri terperanjat bagaimanakah kisah manis hubungannya itu berjaya dihidu wartawan sedangkan dia berusaha menyembunyikannya selama ini.

Apa-apa pun keputusan untuk mendirikan rumah tangga adalah satu perkara yang baik dan Maya sendiri tidak perlulah berkecil hati dengan laporan mengenai perkahwinannya itu.

Yang penting berita itu bukanlah rekaan dan apa yang pasti peminat juga turut mendoakan supaya Maya dan bakal suaminya nanti akan mendapat sinar kebahagiaan.

Kepada Maya, selamat menempuh gerbang perkahwinan dan selamat melangsungkan persandingan di taman yang indah di Itali nanti.

0 shout!: