| 18 Feb 2008 Maya Karin bukanlah satu nama asing di persada dunia perfileman negara. Bakat lakonannya yang begitu menyerlah dalam filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2’, ‘1957: Hati Malaya’, ‘Anak Halal’ dan terbaru, ‘Duyung’ melayakkannya digelar sebagai seorang pelakon serba boleh. Namun disebalik keghairahan Maya mencipta nama, masih terdengar suara-suara nakal yang mempertikaikan bakat lakonannya. Malah ada di antara mereka yang berterus-terang memberitahu Maya hanya mempertaruhkan wajah kacukan Eropah dan Asianya untuk meraih perhatian peminat. Berpeluang bertemu dengan Maya baru-baru ini, pelakon jelita yang juga seorang pengacara ini ternyata berfikiran positif. Malah dia bijak menjawab segala dakwaan yang memperlecehkan bakat lakonannya. Katanya dia telah memberikan lakonan terbaik di dalam semua filem lakonannya dan terpulang kepada para peminat untuk membuat penilaian. Paling penting pengarah dan penerbit selesa bekerjasama dengannya dan percaya dengan bakat serta kemampuan yang dimilikinya. Tak dinafikan Maya memang cukup popular kini. Malah bakat lakonan Maya juga pernah diiktiraf sehingga melayakkan Maya menerima anugerah pelakon terbaik. Namun masih ada suara-suara sumbang yang mengatakan Maya tidak boleh berlakon dan hanya mempertaruhkan wajah jelita serta susuk tubuh menawan untuk menarik perhatian ramai. Apa komen Maya dengan dakwaan tersebut? Maya: Saya anggap dakwaan tersebut langsung tidak berasas sama sekali. Sebagai pelakon apa yang paling penting adalah bakat lakonan yang saya miliki. Jika seseorang pelakon tersebut hadir dengan pakej bakat serta paras rupa yang jelita, itu satu bonus buat dirinya. Pada saya apa yang saya pertaruhkan ialah bakat dan saya bukan menjual paras rupa untuk terus bertahan dalam industri ini. Pelakon yang tidak berbakat dan hanya mengharapkan wajah yang jelita sahaja, saya yakin mereka tidak akan mampu bertahan lama. Apatah lagi penonton kita sekarang semakin bijak menilai dan hanya mereka yang terbaik mampu terus bertahan. Selain itu kehadiran ramai bakat baru juga menambahkan persaingan yang positif dan hanya yang terbaik terus diterima. Apa lagi yang akan Maya lakukan selepas ini untuk menafikan dakwaan tersebut? Maklumlah industri kita sekarang terlalu mudah menerima wajah-wajah kacukan seperti Maya sedangkan bakat mereka masih belum dapat dibuktikan lagi dan adakalanya bakat lakonan yang dipertaruhkan tidak seberapa? Sebagai pelakon saya akan cuba memberikan lakonan terbaik setiap kali saya muncul dalam mana-mana drama atau filem. Pada saya lakonan adalah kehidupan saya dan saya tidak akan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab yang telah diberikan oleh pengarah dan penerbit kepada saya. Tentang banyak pelakon berwajah kacukan di Malaysia sekarang, saya selalu berfikiran positif dan jika boleh berikan mereka ruang dan peluang untuk menonjolkan bakat. Saya percaya, jika mereka benar-benar berbakat mereka pasti akan berjaya dan diterima baik oleh masyarakat. Bercerita tentang karier lakonan Maya sekarang, Maya ada memberitahu pihak media bahawa Maya mahu berehat seketika. Mengapa agaknya dan di mana Maya akan bercuti? Memang saya akui saya mahu berehat seketika daripada dunia seni. Tapi bukannya lama, mungkin cuma dua atau tiga minggu sahaja. Saya sengaja mahu berehat kerana sepanjang tahun 2007 saya terlalu banyak bekerja. Pada mulanya memang saya merancang nak ke luar negara tetapi selepas saya melihat keadaan cuaca di beberapa buah negara pada masa ini yang kurang baik, saya merasakan lebih baik saya berada di dalam negara. Yang penting saya rasa gembira kerana dalam tempoh ini saya dapat tenangkan minda yang selama ini berserabut dengan jadual kerja yang banyak. Saya juga banyak menghabiskan masa di rumah dengan melayan kawan-kawan, memasak dan membaca buku. Saya suka membaca buku-buku mengenai dokumentari, novel dan buku agama bila ada kelapangan.  Terbaru Maya terlibat dalam filem ‘Duyung’. Ramai yang memuji penampilan Maya dalam filem tersebut yang dikatakan sangat membanggakan. Boleh Maya ceritakan sedikit tentang pengalaman berlakon dalam filem tersebut di mana Maya terpaksa memakai kostum yang sukar serta banyak menghabiskan masa di dalam air? Berlakon dalam filem ‘Duyung’ saya berdepan dengan cabaran fizikal paling hebat jika mahu dibandingkan dengan filem-filem yang terdahulu. Apa tidaknya, saya perlu mengenakan sut duyung, selama lapan hingga 15 jam sehari, selama 12 hari. Selain itu saya juga terpaksa bangun seawal jam 4 pagi, semata-mata untuk mengenakan pakaian khas itu. Ini kerana sebahagian besar badan saya terpaksa digam untuk melekatkan sut tersebut. Memang saya tidak selesa dengan kostum duyung. Ia bukan saja berat, merimaskan dan membuatkan badan saya gatal, pakaian itu juga memerlukan saya berkurung berjam-jam tanpa boleh melakukan pekerjaan lain. Ada ketika saya rasa macam hendak menjerit saja kerana terlalu tertekan. Namun daripada situlah saya belajar erti kesabaran dan cuba menenangkan diri kerana ini sememangnya kerja saya. Sebagai seorang pelakon saya perlu menerimanya dengan hati terbuka dan bukan semua pelakon boleh merasai pengalaman hebat sebegini. Sebelum ini Maya selalu terlibat dalam filem-filem berat seperti ‘Pontianak Harum Sundal Malam’, ‘Anak Halal’ dan ‘1957: Hati Malaya’. Sebaliknya dalam ‘Duyung’ watak Maya lebih ringan dan terdapat elemen komedi. Bagaimana Maya menghayati watak tersebut serta kerjasama Maya degan Saiful Apek? Daripada proses pembikinan filem ini, saya banyak belajar erti kesabaran, bagaimana untuk fokus kepada kerja serta menimba pengalaman berlakon komedi. Saya banyak memerhatikan bagaimana pelakon lain seperti Saiful Apek dan Yasin melakukannya. Daripada situ, sedikit sebanyak saya mendapat petua untuk berlakon gaya komedi. Pada mulanya saya risau apabila mengenangkan ‘Duyung’ yang merupakan sebuah filem komedi. Jika duyung itu sendiri watak yang serius, mungkin ia lebih mudah kerana saya sendiri banyak membabitkan diri dalam filem berat. Namun saya gembira kerana apabila penggambaran dimulakan, ia tidaklah sesukar seperti yang saya sangka. Saya juga berdebar-debar apabila digandingkan dengan Saiful Apek. Semua orang tahu dia pelakon popular yang memang pakar dalam bidang komedi. Dia jelas sekali tahu apa yang dia lakukan. Begitupun saya seronok dan bertuah dapat berlakon di sampingnya. Dia juga banyak membantu saya menghayati watak Duyung dengan lebih berkesan. Filem ‘Duyung’ belum pun ditayangkan lagi kepada umum tetapi banyak pihak sudah mula memperkatakan tentang filem tersebut khususnya lakonan Maya yang dikatakan sangat bagus sehingga tidak memerlukan pelakon lagak ngeri untuk menggantikan Maya bagi beberapa adegan berbahaya. Mungkin Maya ada merujuk filem-filem lain untuk memantapkan watak Maya yang membawakan watak Duyung? Saya berterima kasih kepada mereka yang memuji. Namun sebelum turun ke lokasi ‘Duyung’ saya hanya sempat menonton filem ‘The Little Mermaid’, animasi tahun 1989 keluaran Disney sebagai rujukan. Memang saya teringin untuk menonton Daryl Hannah membawakan watak duyung dalam ‘Splash’ (1984). Tetapi saya tidak dapat mencari filem berkenaan. Jadi, hendak tak hendak, saya tengok filem kartun sajalah dan ia sedikit sebanyak dapat membantu saya. Selain itu saya berterima kasih kepada orang tua saya yang mendorong saya memasuki kelas renang secara serius, ketika berusia tujuh hingga 11 tahun. Ketika zaman kanak-kanak di Indonesia dulu, saya perenang yang kompetitif. Setiap minggu, saya berlatih selama tiga atau empat jam. Nampaknya, kemahiran ketika kecil dulu ada juga faedahnya untuk saya hari ini khususnya ketika melakonkan watak Duyung. Sebelum ini nama Maya disebut-sebut bakal membintangi filem terbaru Kabir Bhatia berjudul ‘Stamp’. Tapi dikatakan Maya telah menolak tawaran tersebut. Mengapa agaknya dan apa projek lakonan terbaru Maya? Mengenai projek lakonan terbaru, buat masa ini saya belum lagi menandatangani sebarang kontrak lakonan. Paling akhir saya ditawarkan membintangi filem ‘Stamp’ arahan Kabir Bhatia. Namun saya terpaksa melepaskan peluang keemasan beraksi di bawah pengarah terbabit kerana percanggahan jadual kerja. Pada masa yang sama saya terikat dengan jadual kerja jenama yang saya wakili. Tidak ada rezeki nampaknya kali ini untuk saya berlakon di bawah arahan Kabir. Mungkin pada masa hadapan rezeki untuk saya bekerja dengan pengarah hebat itu akan terbuka sekali lagi.  Sebelum berlakon dalam Duyung, Maya sering kali berlakon di dalam produksi Pesona Pictures dan diarahkan oleh Shuhaimi Baba atau Shumi. Disebabkan itu ada pihak yang berpendapat Maya terikat dengan filem-filem terbitan syarikat produksi berkenaan serta menjadi anak emas Shumi. Benarkah? Saya tidak pernah terikat dengan mana-mana produksi. Sebagai pelakon saya tetap mencari watak yang bagus serta sebuah kumpulan yang bagus untuk bekerja. Saya sering kali berlakon bersama produksi Pesona Pictures kerana Pesona memastikan pelakonnya menjalani sesi latihan sebelum penggambaran mana-mana filem dimulakan. Pada saya itu merupakan sesuatu yang bagus dan pengalaman mengikuti sesi latihan cukup berguna kerana ia dapat membantu saya meningkatkan skil lakonan ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu ia juga dapat memastikan wujud keserasian di antara pelakon apabila melakonkan watak masing-masing sekali gus dapat mengindahkan lagi sesebuah filem. Tetapi jika dapat tawaran yang bagus dan menarik daripada mana-mana pihak dan bersesuaian pula dengan jadual kerja saya, saya pasti akan menerimanya. |
1 shout!:
Namaknya saya akan pergi ke wayang walaupun sorang2 untuk menyaksikan filem DUyong ni...
Post a Comment