
PETALING JAYA: “Saya pencinta alam, pencinta alam dan pencinta alam...,” luah Maya Karin Roelcke mengenai penerimaan tawaran sebagai Duta Terumbu Karang Antarabangsa 2008 (IYOR 2008).
Menurut anak kelahiran Bayreuth, Jerman itu, penerimaannya sebagai duta untuk program nasional itu bukan kerana mahu mengejar populariti, sebaliknya dia suka dan cintakan alam, termasuk hidupan laut atau marin.
“Sejak usia empat tahun lagi, ayah dedahkan pelbagai aktiviti seperti snorkling, selam skuba, berbasikal, memanjat bukit dan berenang. Saya membesar dengan semua itu.
“Jadi, tidak hairan apabila dipelawa menjadi duta kempen ini, saya terus beri persetujuan dan ikhlas membantu,” katanya yang mengakui menjalankan tugas itu secara sukarela.
Aktres yang pernah dinobat Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 itu ditemui pada Majlis Pelancaran Pameran Duta Terumbu Karang Antarabangsa anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Taman Laut, di sini, semalam.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suboh Mohd Yassin merasmikan majlis berkenaan. Turut hadir Ketua Cawangan Perancangan dan Pembangunan Jabatan Taman Laut, Abd Rahim Gor Yaman.
Maya, 29, yang bakal muncul dengan filem Duyung 6 Mac ini berkata, kesedaran mengenai pentingnya menjaga hidupan marin perlu dipupuk sejak kecil dan sebagai duta, dia akan turun padang untuk mendekati golongan sasar iaitu kanak-kanak dan pelajar mengenai betapa pentingnya menjaga anugerah Tuhan itu.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga dengan pelbagai anugerah yang dikurniakan ini dan ia harus dijaga dan dipulihara. Atas dasar itu, saya akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan dan membuat promosi,” katanya.
Sementara itu, Suboh berkata, kempen kesedaran dengan slogan 'Terumbu Kita, Warisan Kita, Tanggungjawab Kita’ itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kehidupan marin yang menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman akibat pembangunan serta aktiviti manusia.
Katanya, Malaysia yang mempunyai 917 spesies terumbu karang, dengan 367 spesies di Semenanjung dan 550 spesies di Sabah dan Sarawak, akan musnah jika tiada kesedaran di kalangan rakyat bagi memulihara dan mengekalkannya sebagai warisan negara.
“Terumbu Karang mempunyai nilai dan pasaran besar dalam ekonomi negara, sistem ekologi serta nilai sosial. Ia boleh menjadi sumber dalam bidang perubatan dan makanan.
“Jika habitat ini musnah, spesies terancam ini akan pupus, sekali gus merugikan negara kerana ia warisan tidak ternilai,” katanya yang turut menyatakan 40 pulau di negara ini sudah diwartakan sebagai Taman Laut.

Program bermula 20 Februari lalu hingga hari ini itu menyediakan pelbagai aktiviti, termasuk pameran kehidupan marin mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
Sepanjang tahun ini, antara program yang tersenarai untuk kempen IYOR Malaysia 2008 ialah pertandingan fotografi dasar laut, Terengganu Seashutterbug (Mac — Mei) dan Fiesta Laut di beberapa pulau Taman Laut.

/>
Tag Heuer

0 shout!:
Post a Comment