Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL BERBICARA dengan jelitawan ini sememangnya cukup mengasyikkan. Terserlah kebijaksanaannya ketika berkata-kata dan ternyata, pemilik nama Maya Karin ini bukan seperti sesetengah selebriti yang hanya berbicara kosong.
Istilah ‘beauty with brains’ sememangnya tepat untuk menggambarkan Maya. Selesai sesi penggambaran bagi mempromosikan filem terbarunya, Anak Halal, baru-baru ini, lalu kami ke kantin untuk menikmati makan tengah hari.
Telahan saya terhadap wanita kelahiran Bayreuth, Jerman ini ternyata silap apabila dia begitu teruja untuk menikmati masakan kampung yang terhidang. Sungguh berselera dia makan!
“Terkejut ya saya suka makanan kampung? Inilah makanan yang paling sedap di dunia. Saya tahu ramai yang menyangka artis seperti kami begitu eksklusif untuk menikmati makanan seperti ini. Saya bukan seperti itu,” kata duta Tag Heuer ini.
Banyak perkara yang kami bualkan dan salah satunya adalah mengenai kunjungannya ke Kota Bharu, Kelantan, awal Disember lalu sempena Festival Mini Filem Kelantan 2007 atau MiniFest Kelantan 2007 yang telah menjadi bahan politik.
Ceritanya: “Saya ke sana pun atas jemputan pihak kerajaan negeri bagi menjadi salah seorang panel bagi sesi dialog yang berjudul Sinema Majid Majidi: Moral dan Kemanusiaan bersama Hassan Abdul Muttalib, Mamat Khalid dan Dr. Hatta Azad Khan.
“Apabila mendapat peluang sebegini, saya merasakan ia adalah satu peluang untuk memperbaiki diri saya dalam membentangkan pendapat saya tentang dunia perfileman. Saya pernah menjadi panel sewaktu Festival Filem Malaysia Ke-20, Ogos lalu dan waktu itu, saya dapat melihat banyak kekurangan yang saya lakukan.
“Jadi, apabila mendapat peluang untuk sesi dialog di Kelantan, baru-baru ini, saya mengambil peluang itu untuk memperbaiki segala kelemahan saya dan saya agak sedih apabila kunjungan saya ke sana telah dipolitikkan. Jangan salah ertikan kunjungan saya ke sana,” katanya dalam nada tegas.
Kesilapan tidak akan berulangDia mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M.Osman dengan membawakan watak wanita koma bernama Seri. Filem itu juga berjaya melayakkan dirinya memenangi Artis Baru Popular 2001 yang dianjurkan oleh sebuah akhbar. Tidakkah dia mahu berlakon lagi dengan pengarah yang mengangkat namanya itu?
“Sudah pasti saya mahu berlakon lagi di bawah arahannya. Begitu juga dengan pengarah lain seperti Yasmin Ahmad. Jika ada skrip yang bagus, tidak mungkin saya akan menolaknya. Saya mementingkan kualiti skrip dan jalan cerita agar kesilapan lalu tidak akan berulang lagi,” katanya tersenyum yang membawa seribu makna.
Apresiasi seni itu berbezaWatak Normala dan Salmi yang dibawakannya di dalam filem sejarah kemerdekaan negara, 1957 Hati Malaya telah melayakkan dirinya tercalon sebagai Aktres Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF2007) yang berlangsung pada 2 Disember lalu.
Apabila melihat namanya sebagai salah seorang daripada lima calon terbaik itu, ramai yang mempertikaikannya kerana kata mereka, watak yang dibawakan Maya itu tidak cukup mencabar dan hebat untuk dicalonkan.
“Saya tidak kisah apa yang orang kata mengenai pencalonan saya itu kerana saya anggap ia adalah satu penghargaan dalam karier lakonan saya. Apresiasi seni itu berbeza dan ia berlaku di semua acara anugerah di seluruh dunia.
“Sebagai contoh di Amerika Syarikat sendiri pun, ada pelakon yang memenangi anugerah di Golden Globe mahupun Screen Actors Guild Awards tetapi tidak berjaya menjulang Oscar. Bukan sesuatu yang pelik kan? Jadi saya anggap itu semua perkara biasa sahaja,” katanya yang tewas di tangan Fatou N’Diaye menerusi filem Sunday In Kagali dalam kategori itu.
sumber > www.utusan.com.my

/>
Tag Heuer

0 shout!:
Post a Comment